Mengapakah para ibu digalakkan untuk
menyusu bayi dengan susu badan dan bukannya susu tepung ataupun susu lembu? Membuat persediaan untuk menyambut kelahiran bayi anda
adalah sesuatu yang menggembirakan dan ia adalah masa yang sangat mencabar. Ibu
harus memberi pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan
kepada ibu dan anak. Kita semua digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya sehingga
bayi berumur 6 bulan untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu dan
diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun. Dalam masa pemberian susu ibu
sepenuhnya bermaksudlah bayi itu tidak diberi makanan atau minuman tambahan
yang lain selain daripada susu ibu.
Susu
ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir
hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan
yang betul. Sebaik selepas melahirkan bayi, susu pertama kental berwarna
kekuningan dan ia dikenalikan sebagai kolostrum. Khasiatnya amat tinggi kerana
kandungan proteinnya adalah tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia juga
mengandungi antibodi (immunoglobulins) yang tinggi serta
lebih sel darah putih (leucocytes) yang mampu melawan
jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
Tambahan pula, susu ibu
juga mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak
dan ia membantu dalam meningkatkan kepintararan bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia
telah membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah
tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa. Ia juga memberi peluang
kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan
kasih sayang antara ibu dan anak kerana sewaktu
menyusu bayi, bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang
masih kecil itu. Bayi akan lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat
merasakan kehangatan kasih ibu dan bayi akan lebih mesra dan kasih sayang
mereka lebih mendalam pada ibunya dalam proses penyusuan ini.
Selain
itu, terdapat juga kebaikan terhadap ibu yang menyusui bayi sejak kelahiran
anak mereka. Antaranya ialah membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya
kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas
bersalin. Tambahan pula, ia membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal
anda dengan cepat dan mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
Malahan, kelebihan yang seterusnya ialah ia merupakan satu cara merancang
kehamilan yang ideal secara tidak langsung kerana penyusuan ibu dengan
sepenuhnya selama 6 bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Oleh itu, 99
peratus kehamilan dapat dielakkan.
Menyusukan anak adalah
tugas yang murni, penting dan istimewa bagi seorang ibu. Pada masa ini,
kesihatan bayi dan ibu dalam negara-negara yang membangun mendapat perhatian
yang penting. Yang dirisaukan ialah banyak ibu di bandar dan juga sebahagian di
luar bandar tidaklah mementingkan lagi susu bagi anak mereka. Di negara-negara
barat yang maju, keadaan menunjukkan ibu-ibu sudah memberi semula susu bagi
anak-anak mereka tetapi di negara-negara membangun seperti Malaysia, ibu-ibu
lebih suka memberi anak-anak susu botol daripada susu mereka sendiri.
Mengapakah perkara
sedemikian terjadi? Maka, faktor yang menghalang penyusuan adalah disebabkan
kesakitan puting susu. Pada hari permulaan, ibu mungkin berasa sakit tetapi
setelah susu mengalir, kesakitan ini akan berkurangan. Terdapat sesetengah ibu
yang puting susunya tersorok atau tidak dapat menegak untuk bayi menghisap,
oleh itu bayi akan menghisap kulit hitam sekeliling puting dan mengakibatkan
perlukaan kecil. Maka, ibu harus menarik putingnya semasa hamil 8 bulan sebagai
persediaan. Faktor seterusnya ialah bengkak susu yang disebabkan jangkitan
kuman ataupun takungan air susu. Jangkitan kuman dalam buah dada mengakibatkan
buah dada bengkak, hangat dan sakit. Ia bolehlah dirawat secara memakan ubat
yang diberikan oleh doktor dan ibu boleh membasuhnya dengan menggunakan air
suam. Selain itu, sebab-sebab yang lain mungkin disebabkan sikap ibu tersebut.
Misalnya, malu menyusukan anak, tiada susu dalam badan, anak tidak mahu
menyusu, ketakutan merosakkan bentuk badan, malas menyusukan anak kerana kena
bangun pada waktu malam dan lain-lain lagi. Maka, cara untuk memperbanyakkan
susu badan ialah ibu bolehlah ambil sebatang lobak putih bersaiz
sederhana dan cuci bersih. Kemudian potong kecil-kecil dan kisar sehingga
halus. Selepas itu campurkan dengan segelas air suam dan diminta minum sebanyak
2 kali sehari.
Sehingga setakat ini, kesedaran untuk
penyusuan badan adalah masih rendah berbanding dengan negara lain. Kempen
menyusu badan telah diadakan di hospital seluruh negara untuk memupuk ibu-ibu
menyusukan bayi-bayi lebih sihat pada masa akan datang. Misalnya, Salah satu
strategi untuk menggalakkan penyusuan susu ibu di Malaysia adalah melalui
pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi. Ia merupakan salah satu program
antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF.
Program ini bertujuan untuk mengalakkan semua hospital dan pusat bersalin
melaksanakan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu
Yang Berjaya”. Di samping itu, WABA (World Alliance for Breastfeeding Action) ditubuhkan iaitu satu rangkaian global untuk pertubuhan bukan
kerajaan dan individu yang mempunyai matlamat yang sama. Ia bertujuan untuk
menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu. WABA percaya penyusuan
susu ibu adalah hak setiap ibu dan anaknya. Pada masa ini, NGO adalah kuasa
penggerak di belakang kumpulan sokongan penyusuan susu ibu, berusaha
melaksanakan kod antarabangsa, pertukaran maklumat dan latihan untuk pekerja
dalam sektor kesihatan. Bagi mencapai matlamatnya, WABA menubuhkan 9 pasukan
khas untuk menyelaras gerakan sosial, pertukaran maklumat, penyelidikan, amalan
penjagaan kesihatan, wanita dan kerja, mematuhi kod, pendidikan dan latihan
serta kumpulan sokongan ibu.
Penyusuan susu ibu tiada bandingan dengan susu tepung mahupun susu
lembu. Tiada gambaran yang sehabis murni dan suci daripada seorang ibu yang
sedang menyusukan anak kecil dengan memeluk anak itu rapat di badannya. Dengan
memeluk anak kecil, dan mengalirnya air susu dari ibu kepada anak, maka kasih
sayang itu turut mengalir. Kesimpulannya, dengan penyusuan itu, semua kemahuan
asas anak-anak dapat disempurnakan dan anak akan berpeluang hidup dengan baik
dan teratur semasa dewasa kelak.
No comments:
Post a Comment